February 14, 2008

Berita yang kurang sedap diterima

Petang semalam Dr. Haliza dtg check Insyirah dan bagi keputusan ujian darah dan x-ray.. huhuhu...Dr kata dia ada komplikasi pada paru-parunya. Dr. cakap ada seakan tompok besar pada paru-paru sebelah kanan Insyirah.. Pneumonia atau radang paru-paru.... ini lebih teruk dr bronkolitis katanya..

So, pagi ni ibu pun cari la apakah yang dimaksudkan dgn pneumonia itu...

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

APABILA mendengar seseorang diserang pneumonia, ada segelintir orang mengaitkan ia dengan penyakit jangkitan kelamin tanpa mengetahui makna sebenar pneumonia. Salah tanggapan ini secara tidak langsung boleh menimbulkan persepsi buruk yang menjejaskan imej pesakit.

Pneumonia ialah radang paru-paru disebabkan jangkitan bakteria, virus atau fungus. Ia merujuk kepada semua jenis jangkitan yang berlaku pada paru-paru.Penyakit seperti flu, batuk kering dan Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) juga dikategorikan sebagai pneumonia kerana membabitkan keradangan pada paru-paru.

Jangkitan menyebabkan keradangan paru-paru boleh berlaku apabila sistem imun kita lemah dan tidak dapat memusnahkan mikro organisma yang memasuki badan.Boleh dikatakan hampir setiap hari kita terdedah kepada semua punca yang boleh menyebabkan keradangan tetapi bagi individu sihat, sistem imun bertindak ‘membunuh’, memusnah dan menyingkirkan bahan asing berkenaan daripada badan. Jadi, kita terselamat daripada jangkitan.

Bagaimanapun, di kalangan individu yang mengalami masalah sistem imun lemah, agen perlindungan badan ini tidak dapat berfungsi dengan baik untuk melawan bakteria atau virus sehingga ia sampai ke paru-paru dan menyebabkan keradangan.

Perunding Respirologi dan Kesihatan Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Lim Kim Hatt, berkata pneumomia boleh berlaku kepada sesiapa saja, terutama warga tua berumur 65 tahun ke atas atau kanak-kanak di bawah umur dua tahun.

Malah, insiden (jumlah kes) dan kadar kematian akibat radang paru-paru adalah tinggi di kalangan warga tua.Di Amerika Syarikat, pneumonia adalah penyebab kematian keenam utama yang menjangkiti lebih tiga juta penduduk setiap tahun.

Lebih setengah juta pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital dan dianggarkan lima peratus (kira-kira 6,000) daripada mereka menemui maut.Pneumonia bukan penyakit yang boleh dipandang ringan kerana jangkitan serius boleh membawa maut, khususnya kepada pesakit tua. Dianggarkan 20 hingga 30 pesakit yang mengalami keradangan paru-paru serius meninggal dunia akibat penyakit ini.

Namun, jumlah sebenar pesakit pneumonia di negara kita sukar dipastikan kerana ramai mendapatkan rawatan dan mengambil antibiotik sebaik tidak sihat.Tindakan ini dianggap langkah baik kerana ia dapat menghalang mikro organisma daripada membiak dalam badan dan menyebabkan jangkitan.

Katanya, radang boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua paru-paru dan jika membabitkan paru-paru kiri dan kanan bermakna keradangan dialami adalah serius.Jumlah kes radang paru-paru dan kematian biasanya tinggi di kalangan orang tua dan kanak-kanak kerana pada dua kumpulan usia ini sistem imun mereka lemah.

Punca
Banyak perkara boleh menyebabkan pneumonia, tetapi secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:
Jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae (S pneumoniae), Mycoplasma pneumoniae dan kuman Tuberculosis (Mycobacterium tuberculosis).

Bakteria S pneumoniae atau pneumococcus adalah penyebab pneumonia paling lazim di Malaysia.Jangkitan virus seperti virus flu, SARS, pneumonia cacar air (terutama pada orang dewasa). Bagaimanapun, kes jangkitan virus jarang berlaku.

Jangkitan fungus seperti actinomycosis, nocardiosis, histoplasmosis, coccidiomycosis, blastomycosis, aspergillosis dan cryptococcosis.Secara umumnya, jangkitan akibat fungus jarang berlaku dan biasanya hanya menyebabkan masalah pada individu yang mengalami masalah sistem imun lemah seperti pesakit Aids/Hiv atau kanser yang menjalani rawatan kemoterapi.

Pada individu sihat, fungus tidak menyebabkan masalah kerana badan akan bertindak menyingkirkannya dengan segera.

Bagaimana bakteria ini boleh merebak dan menjangkiti?
Dalam kebanyakan kes, seseorang itu boleh mendapat bakteria pneumonia apabila menyedut udara mengandungi percikan halus air liur atau cecair hidung individu yang dijangkiti.

“Percikan cecair mengandungi bakteria biasanya terjadi ketika seseorang itu batuk dan bersin. Ini sebabnya kita dinasihatkan menutup mulut dengan tisu atau sapu tangan ketika batuk dan bersin bagi mengelak jangkitan.

“Dalam keadaan lain, pneumonia boleh berlaku apabila bakteria atau virus dalam mulut, hidung atau tekak memasuki paru-paru. Paru-paru kita membabitkan ribuan kantung atau beg udara. Apabila memasuki paru-paru, mikro organisma ini membiak dalam kantung udara itu,” kata Dr Lim.

Lama kelamaan, kantung udara ini dipenuhi cecair dan nanah sebagai tindak balas badan menentang jangkitan. Kehadiran cecair dan nanah ini juga menyebabkan pesakit sakit dada. Kesakitan ini bertambah jika pesakit mengalami batuk yang teruk.

Gejala
Gejala pneumonia berbeza mengikut jenis punca keradangan. Jangkitan bakteria juga dikenali sebagai pneumonia tipikal yang akan menyebabkan:
Demam panas.
Menggigil.
Batuk.
Ruam.
Sakit otot.
Kahak pekat berwarna kekuningan dan kadang kala mengandungi darah.
Sakit dada yang semakin teruk jika lebih banyak batuk.
Sukar bernafas (Bagi kes teruk. Ini menandakan banyak kantung udara dalam paru-paru yang dijangkiti).

Bagaimanapun ada kalanya pesakit, terutama golongan tua dan kanak-kanak, mengalami gejala yang tidak khusus seperti muntah, cirit-birit, sakit kepala, letih lesu serta tiada selera makan.

Gejala akibat jangkitan virus atau fungus (pneumonia atipikal)
Batuk yang kering (tidak berkahak atau berdarah).
Demam.

Bagaimanapun, kata Dr Lim, gejala yang disenaraikan di atas adalah gejala umum dan doktor perlu menjalankan pemeriksaan rapi sebelum dapat mengesahkan seseorang itu menghidap pneumonia melalui ujian sinar-X dada.

Selain itu, doktor mungkin memeriksa air liur dan membuat ujian darah untuk mengukur bilangan sel darah putih.Keputusan ujian darah ini membolehkan doktor mengetahui punca pneumonia sama ada disebabkan jangkitan bakteria atau virus.

Rawatan
Rawatan utama pneumonia ialah memberi antibiotik kepada pesakit. Hanya pesakit yang mengalami keradangan paru-paru serius perlu dimasukkan ke hospital seperti pesakit tua dan individu yang turut mengalami masalah kesihatan seperti dibincangkan di atas.

Dalam kebanyakan kes, pesakit yang muda dan sihat (tidak menghidap penyakit lain) dibenarkan balik selepas mengambil ubat. Gejala pneumonia biasanya hilang selepas beberapa hari.

Gejala seperti demam dan batuk hilang dengan pengambilan ubat secara teratur, tetapi rasa letih lesu berlanjutan antara satu hingga dua minggu.Namun jika jangkitan disebabkan virus, doktor tidak akan memberi antibiotik. Ini kerana antibiotik tidak memberi kesan kepada virus.

Walaupun rawatan pneumonia nampak mudah, penyakit ini tidak boleh dibiarkan tanpa rawatan. Melengahkan rawatan boleh menyebabkan pengumpulan cecair dan nanah dalam dada iaitu pada kantung udara paru-paru.

Kehadiran cecair dan nanah mengambil ruang dalam dan mengurangkan keupayaan pesakit untuk bernafas. Ini sebabnya pesakit terasa sesak dan sukar bernafas serta sakit dada setiap kali batuk. Jika dibiarkan, nanah bertambah banyak dan menyebabkan pesakit tidak boleh bernafas.

“Jika didapati ada nanah, doktor akan menebuk satu lubang kecil di bawah dada untuk mengalirkan nanah keluar. “Yang dibimbangkan ialah jika jangkitan menjadi bertambah buruk kerana ia boleh merebak dan menjangkiti organ badan lain melalui aliran darah (septesemia),” katanya.

Kini ada cara boleh dilakukan untuk mengelak anda mendapat jangkitan bakteria pneumococcus iaitu mengambil suntikan vaksin.Walaupun semua orang boleh mendapatkan vaksin, ia lebih disarankan untuk warga tua (berumur 65 tahun ke atas), kanak-kanak di bawah dua tahun dan individu berpenyakit.

Bagi orang dewasa, suntikan hanya perlu diambil sekali dan diulang selepas lima tahun. Bagaimanapun, kanak-kanak memerlukan beberapa dos bagi membolehkan badan mereka membina daya ketahanan secukupnya bagi melawan ancaman bakteria ini.

Pada masa sama, beliau menyarankan semua orang mendapatkan suntikan vaksin flu kerana virus influenza juga adalah antara penyebab utama masalah pernafasan dan keradangan paru-paru.

Selain itu, amalan hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang, kerap bersenam, cukup rehat dan berhenti merokok dapat mencegah masalah radang paru-paru.

Golongan berisiko
Perokok (asap rokok melemahkan sistem pertahanan dalam paru-paru dan mendedahkan mereka kepada jangkitan).
Individu yang tidak cukup zat.
Individu yang minum terlalu banyak minuman beralkohol. Minuman alkohol boleh mengganggu proses menelan dan individu yang makan ketika mabuk mempunyai kecenderungan untuk tercekik kerana ada kebarangkalian makanan memasuki saluran pernafasan dan sampai ke paru-paru.
Individu yang tinggal di rumah perlindungan yang sesak. Dalam keadaan ini, bakteria mudah tersebar dan kebarangkalian penghuni mendapat jangkitan adalah tinggi.
Individu yang menghidap penyakit membabitkan saluran pernafasan seperti masalah paru-paru, asma (kurang terkawal), bronkitis kronik (keradangan salur udara ke paru-paru), kencing manis yang tidak terkawal, kanser serta mengalami masalah pada buah pinggang, hati dan otak.
Individu yang ada masalah lemah sistem imun badan.

Perlindungan vaksin
Individu berumur 65 tahun ke atas.
Kanak-kanak di bawah umur dua tahun.
Individu yang mengalami masalah kesihatan membabitkan paru-paru, hati atau buah pinggang.
Pesakit kencing manis, Aids/Hiv, penyakit sel sikel (bulan sabit).
Individu ketagih arak.
Individu yang menjalani rawatan yang melemahkan sistem imun badan.
sumber: Berita harian

1 comment:

MiE & MaI said...

Mama, sedihnya dengar insyirah sakit...menitis air mata...sian dia kecik2x dah sakit...mama banyakkn bersabar kay...insyaalah mudahan boleh sembuh.n cepat sembuh....kirim salam cium sayang kat insyirah...buat mama tabahkan hati...

Related Posts with Thumbnails